Laporan Hari Ke 2 Perjumpaan MailJah Kota Warisan
Acara bersambung hari ini. Pada malam semalam selepas sesi makan BBQ dan menonton Akademi Fantasia yang menyaksikan Stanley keluar, disambung dengan sesi karaoke keluarga MailJah. Ramai bakat-bakat baru menonjolkan kebolehan men’sumbang’kan lagu.
Antara yang paling menonjol adalah Tuan Haji Hasbulllah Helmi. Beliau menghabiskan lagu daripada dua CD sehingga menyebabkan para hadirin terlena dibuainya. Antara pe’nyumbang’-pe’nyumbang’ yang lain adalah Puan Hajjah Bahiyatul Nazarah, Tuan Haji Ahmad Shanusi, Puan Hajjah Hamidah Ismail dan ramai lagi. Ia berlanjutan hingga ke jam 2 pagi. Hebat memang hebat…!
Pagi tadi, acara diteruskan dengan bersarapan dengan makan murtabak ‘Maktok Jah’ yang disediakan ramuannya oleh Puan Hajjah Madakhiah dengan diuli oleh Tuan Haji Hasbullah Helmi. Diiringi tenaga-tenaga pakar yang lain seperti Puan Hajjah Hamidah , Puan Hajjah Fadzilah dan menantu-menantu mereka yang lain.
Kami baru sahaja selesai makan tengahari walaupun sebenarnya belum tengahari dengan makanan khas nasi daging merah dengan air asam. Memang menarik, pada kali ini tema perjumpaan “MAKAN SAMPAI LETIH” mencapai sasarannya. Kesemua hadirin pada kali ini memang tidak sempat lapar. Semuanya perlu memulakan kembali sesi diet mereka. Tahniah kepada pihak penganjur dan diharap dapat menganjurkan lagi perjumpaan sebegini di waktu akan datang.
Ini merupakan satu cabaran kepada penganjur akan datang iaitu pasukan MailJah cawangan Ipoh, Tuan Haji Hasbullah Helmi dan Puan Hajjah Fadzilah. Semoga perjumpaan yang akan datang semeriah kali ini. Tahniah sekali lagi kepada pasukan MailJah cawangan Kota Warisan.


